Wednesday, March 7, 2007
Serba Satu Putih Berdiri
Perkahwinan dalam adat istiadat Melayu suatu upacara panjang lebar yang penuh dengan adat istiadat. Walau sehari tidak ketemu disarakan bagai setahun, namun adat diketepi jangan. Untuk memiliki si jantung hati harus datang beradat. Setiap hasrat disampaikan dalam jalur kesopanan. Bunga yang kembang mekar hendaklah ditilik dirisik terlebih dahulu. Apabila sah belum disunting maka bertandangkan rombongan merisik."Datang kami datang berhajat ingin memetik bunga di taman." Maka disambut si tuan rumah," Kalau kena dengan cara suntingan, kecil tapak tangan nyiru kami ditadahkan." Setelah pinangan diterima menyusul adat hantar tanda. Ibarat pepatah orang tua-tua "kerbau ditambat dengan tali, janji diikat dengan tanda." Justeru wajarlah sebentuk cincin pengikat kata." Lantas dihulurkan sebutir cincin belah rotan atau bertatah intan atau berlian.Bagaimanapun sebelum itu dirundingkan segala hal-hal bersangkut-paut dengan hantaran; berapa mas kahwin yanng dikehendaki? Berapa belanja hangus. Apakah barang-barang yang dikehendaki waris si dara? Adakah hantaran ini mahu dibawa pada hari pertunangan atau langsung atau sebahagian pada hari bertunang dan bakinya pada hari pernikahan? Semuanya harus diputuskan sebelum menjelang hari pertunangan.Membuka tabir budi bicara, berkatalah wakil pihak perempuan. "Hidup dikandung adat maka seperti yang kebiasaan begitulah kehendak kami. Tetapi besarlah hati kami jika selain dari sepersalinan dapat kiranya serba satu putih berdiri." Indah, halus dan penuh beralas. Hidup menjunjung adat bangsa Melayu kaya dengan kiasan. Permintaan diungkapkan dalam kata-kata indah dan manis, tidak kurang yang berpantun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment